COVID-19: Guru, Pelajar SMK Labuan Diminta Jalani Ujian Saringan

Gambar Hiasan

LABUAN: Tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, yang mengajar sesi petang di Blok K (Fasih 3) dari 1 hingga 16 Oktober lalu serta semua pelajar sesi tersebut diminta menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata ini susulan kes positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar sekolah itu.

“Sekiranya peringatan (ujian Covid-19) dikeluarkan (kepada sekolah atau individu), ia bermakna wujud kes positif jangkitan virus itu,” katanya.

Jabatan Kesihatan Labuan telah mengeluarkan peringatan kepada pihak sekolah berkenaan Jumaat lalu dan ujian itu dijadual hari berikutnya atau secepat mungkin dan maklumat itu dikongsi dengan ibu bapa dan orang awam.

Terdahulu, dilaporkan dua pelajar daripada kluster SMK Mutiara dan Bah Bangat diikuti seorang pelajar SMK Pantai dan seorang murid Sekolah Kebangsaan Kerupang dijangkiti Covid-19.

Ketiga-tiga sekolah tersebut diarah ditutup sementara untuk tujuan pembersihan dan kerja pembasmian kuman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan semula.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *