Covid-19: Beaufort Daerah Ke-13 Dalam Zon Merah

KOTA KINABALU: Pertambahan kes baharu Covid-19 di Beaufort dalam tempoh dua hari ini menyebabkan daerah itu kini berada zon merah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam Facebook PKN Sabah memaklumkan, sehingga semalam, 57 kes aktif dilaporkan di Beaufort dengan bilangan kumulatif kes sebanyak 73 kes. Setakat ini, satu kluster dilaporkan di Beaufort, iaitu kluster Bina dengan 20 kes positif.

Dengan pertambahan satu daerah itu, sebanyak 13 daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon merah, 10 zon kuning serta tiga zon hijau.

Daerah yang turut berada dalam zon merah adalah Semporna dengan 949 kes aktif, Kota Kinabalu (941), Tawau (646), Sandakan (625), Tuaran (402), Lahad Datu (344), Papar (245), Penampang (162), Putatan (131), Kota Belud (98), Kunak (76), Ranau (50).

Semalam, 17 daerah mencatatkan pertambahan kes. Selain daerah yang dinyatakan di atas, daerah yang turut mencatatkan kes tambahan kes positif baharu adalah Keningau, Kinabatangan, Tambunan Tenom.

Daerah Kudat antara daerah yang bakal berada dalam zon merah sekiranya pertambahan kes positif baharu berterusan dalam tempoh beberapa hari ini. Setakat ini, sebanyak 38 kes aktif dilaporkan di Kudat dengan bilangan kumulatif kes adalah sebanyak 42 kes.

Dr Christina berkata, sehingga semalam sebanyak 6,737 kes, dengan 4,086 kes aktif. Manakala, kes yang pulih adalah sebanyak 2,596 kes.

Kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 55 kes kematian dengan empat kes kematian terbaru semalam. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *