Kerajaan Sabah Bantu Penduduk & Peniaga Terjejas Akibat Ribut Di Putatan

Struktur bangunan Pasar Tamu Putatan di Kampung Pasir Putih ranap berikutan cuaca buruk yang berlaku di daerah Putatan awal pagi tadi. Beberapa rumah penduduk kampung di sekitar kawasan ini juga turut terjejas. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan kepada penduduk dan peniaga di daerah Putatan yang terjejas teruk akibat kejadian ribut malam tadi selepas segala maklumat yang berkenaan diperoleh, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Shahelmey Yahya.

Beliau berkata kementeriannya sedang mengumpul maklumat mengenai tahap kerosakan rumah dan struktur bangunan di kawasan terlibat dalam kejadian yang bermula dari 10 malam tadi hingga 1 pagi ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Pasar Tamu Sementara Putatan dan Kampung Pasir Putih Putatan.

“Saya juga telah meminta Majlis Daerah Putatan menilai struktur awam yang rosak dengan bantuan jurutera Jabatan Kerja Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahelmey berkata beliau juga telah melawat tapak Pasar Sementara Putatan di belakang Dewan Sri Putatan dan Kampung Pasir Putih Putatan pagi tadi dan mendapati sebahagian daripada struktur atap pasar tersebut telah rosak akibat kejadian semalam.

“Keadaan ini menyebabkan beberapa peniaga di pasar itu tidak dapat menjalankan perniagaan,” katanya, menambah beliau juga telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat menguruskan bantuan kepada pemilik tiga buah rumah yang rosak teruk selepas bumbung diterbangkan angin. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *