PKPB Di 11 Daerah Terbatal Selepas Pelaksanaan PKPB Seluruh Sabah

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di 11 daerah negeri ini terbatal dengan penguatkuasaan PKPB seluruh Sabah bermula Selasa lepas (13 Okt), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi dalam kenyataan hari ini memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB seluruh Sabah ketika ini akan mengguna pakai SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara semalam, justeru semua SOP PKPB yang dikeluarkan sebelum ini, tidak terpakai.

Masidi berkata SOP bagi 10 lokaliti yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pula adalah kekal seperti sebelum ini.

“Pengusaha atau peniaga dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenar beroperasi dan tidak perlu memohon kebenaran untuk beroperasi (sepanjang PKPB) daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19).

“Bagaimanapun, aktiviti berikut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPB iaitu pasar malam, pasar tani dan tamu; premis serta kelab hiburan termasuk kelab malam, pub, panggung wayang dan perjudian; dan rumah urut, pusat refleksologi, rawatan muka dan kuku,” katanya.

Pada Isnin lepas (12 Okt) Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata seluruh Sabah dikenakan PKPB sehingga 26 Okt nanti.

Masidi berkata bagi sebarang pertanyaan, orang awam boleh menghubungi Bilik Operasi Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) melalui portal: command.sabah.gov.my atau Facebook ‘fb.com/sabahcovid’ atau Twitter ‘sabahcovid’ atau di talian 088-369430 antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *