Covid-19: Ranau Kini Zon Merah

KOTA KINABALU: Pertambahan kes positif baharu Covid-19 di Ranau hari ini, menjadikan daerah itu sebagai daerah ke-13 berada dalam kawasan zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat sembilan kes baharu di Ranau hari ini dan menjadikan bilangan keseluruhan kes di Ranau meningkat kepada 48 kes, dengan 44 kes aktif.

Daripada 489 kes positif baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi untuk dua hari berturut-turut, dengan 114 kes baharu. Bilangan kumulatif kes di Kota Kinabalu sehingga kini adalah sebanyak 953 kes.

Sebanyak 22 daerah mencatatkan tambahan kes baharu pada hari ini. Ia termasuk Sandakan (93), Tawau (77), Semporna (66) dan Lahad Datu (46).

Turut mencatatkan kes baharu adalah daerah Putatan (19), Papar (17),Tuaran (10), Penampang (9), Kinabatangan (5), Kunak (4), Kudat (4), Beaufort (3), Tenom (3), Tambunan (3), Pitas (2) dan masing-masing satu kes di Kota Marudu, Beluran, Kota Belud, Keningau dan Sipitang.

Di Sabah, lima kematian dilaporkan hari ini dengan tiga kematian di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Sandakan dan Semporna.

Bilangan kumulatif kes kematian di Sabah meningkat kepada 51 kes. Manakala, bilangan kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah setakat ini adalah sebanyak 6,286 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *