Kes Covid-19 Tinggi Di Sabah Bukan Sebab Kurang Fasiliti

Gambar fail, petugas kesihatan melakukan ujian calitan Covid-19 ke atas individu di Hospital Labuan. Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah yang tinggi adalah disebabkan pelaksanaan saringan bersasar secara besar-besaran dan tiada kena-mengena mengenai kemudahan kesihatan di negeri itu.

Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, peningkatan kes itu juga dilihat statik.

Katanya, tiada asas pun berhubung dakwaan kekurangan atau kelemahan kemudahan kesihatan di Sabah yang kononnya punca menyukarkan usaha untuk melandai keluk kes jangkitan.

“Tindakan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah itu untuk mengenal pasti golongan berisiko, termasuk yang ada simptom, sebab kita tahu banyak daerah di Sabah dalam kategori zon merah.

“Jadi pengkelasan risiko sudah dibuat untuk kumpulan berisiko tinggi termasuk di depot tahanan. Mereka akan disaring dan itu yang menyebabkan jumlah kes Sabah sentiasa tinggi dan menyumbang tertinggi dalam negara beberapa hari kebelakangan ini,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, menambah kapasiti sumber manusia dan peralatan seperti ventilator adalah untuk kesiapsiagaan dan bukannya gambaran bahawa situasi tidak terkawal.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, apabila semakin ramai individu yang disaring, maka makin tinggi kebarangkalian kes positif dikesan dalam kumpulan itu.

“Nak kata kekurangan fasiliti (kesihatan), diakui Sabah tidaklah sebaik dan sebanyak fasiliti di semenanjung khususnya di Lembah Klang.

“Tetapi itu bukan penyumbang kepada jumlah peningkatan kes baharu. Fakta sebenar kenapa kes itu banyak ialah disebabkan saringan Covid-19 yang dilaksanakan secara besar-besaran,” katanya.

Sepanjang dua minggu sejak 1 Oktober hingga semalam, kes Covid-19 di Malaysia berterusan mencatatkan tiga angka dengan rekod tertinggi adalah 691 kes dicatatkan 6 Oktober lalu.

Puratanya, Sabah antara negeri penyumbang angka tertinggi kes baharu dalam gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda negara termasuk semalam menyumbang 65 peratus (429 kes) daripada 660 kes.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *