Keluar Masuk Sabah, Labuan Diperketat

Feri RoRo, Feri Ekspres dan bot laju sahaja dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat. gambar BERNAMA

KOTA KINABALU: Polis meningkatkan kawalan di sepanjang perairan antara Sabah dengan Labuan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, individu yang didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKPB akan ditahan dan dikenakan kompaun.

Katanya, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dikerah untuk mengawal pantai serta perairan negeri ini.

“Polis akan cuba menghalang penduduk dari tanah besar (Sabah) masuk ke Labuan dan begitu juga dengan penduduk Labuan yang cuba masuk ke tanah besar.

“Feri RoRo, Feri Ekspres dan bot laju saja dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hazani berkata, walaupun Labuan adalah Wilayah Persekutuan, namun dari segi keselamatan ia adalah di bawah pentadbiran polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini, mengesahkan Labuan akan dikenakan PKPB bermula lusa sehingga 30 Oktober depan.

Katanya, SOP PKPB bagi pergerakan rentas negeri di Labuan tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dengan mengemukakan surat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *