Covid-19: Wanita 100 Tahun Antara Tiga Kematian Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Wanita bukan warganegara berusia 100 tahun di Sandakan antara tiga kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kematian wanita itu dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Dua kes kematian lagi dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth membabitkan perempuan warganegara berusia 54 tahun; dan di Hospital Tawau melibatkan lelaki bukan warganegara berusia 68 tahun. Kedua-dua pesakit ini mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 170 kes dan kematian di Sabah meningkat kepada 46 kes.

Untuk kes positif baharu, daripada 589 kes positif baharu yang dilaporkan, 304 kes adalah di Sabah. Satu kluster baharu dikesan di Sabah iaitu kluster Olive (13).

Sementara, enam kes positif baharu yang merupakan jangkitan tempatan dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan. Satu kluster baharu dilaporkan di Labuan hari ini iaitu kluster Saguking (2).

Daripada 589 kes baharu, 586 kes adalah jangkitan tempatan dan tiga kes import. Manakala, empat kluster baharu dilaporkan hari ini, termasuk kluster Olive, kluster Saguking, kluster Bah Pasir, Negeri Sembilan dan kluster Bah Pengkalan, Perak.

Pertambahan kes baharu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 18,129 kes. Sebanyak 5,945 kes aktif dengan 103 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 409 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 12,014 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *