PH Sabah Tak Bertanding PRK Batu Sapi

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini memutuskan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Ketuanya Christina Liew berkata, keputusan itu menunjukkan penghormatan mereka terhadap penyandang kerusi berkenaan, Liew Vui Keong, yang juga pengerusi tetap Warisan.

“Keputusan kami menunjukkan rasa hormat kepada mendiang Datuk VK Liew yang menyandang kerusi Parlimen Batu Sapi bawah Warisan.

“PH Sabah adalah rakan gabungan Warisan Plus. Dia (Liew) berkhidmat sebagai ahli Parlimen Batu Sapi dari Mei 2018 hingga 2 Oktober,” kata Christina yang juga ketua PKR Sabah, dalam kenyataan.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah sebagai parti komponen.

Christina turut meminta parti lain dan individu tidak bertanding atau memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap SOP jika mereka memutuskan untuk bertanding pilihan raya itu.

“Dengan mempertimbangkan pengajaran daripada pilihan raya Sabah baru-baru ini, ada keperluan untuk memperketatkan SOP bagi pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional dan Parti Cinta Sabah mengumumkan mereka tidak akan bertanding pada PRK itu.

PRK Parlimen Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember, undi awal pada 1 Disember dan penamaan calon 23 November.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Liew pada 2 Oktober lalu.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *