Laluan Keluar Masuk Felda Umas Dikawal Ketat

Peter (duduk) menerima maklumat laluan-laluan di Felda Umas yang ditutup sepanjang PKPD.

TAWAU : Kawalan keselamatan di laluan keluar masuk Felda Umas akan terus diperketat selepas kawasan tersebut dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbus berkata pihaknya bersama agensi keselamatan lain kini giat melakukan kawalan di semua laluan tersebut.

 Jalan yang dipercayai laluan tikus turut ditutup menggunakan dawai berkawat. 
TUTUP : Jalan yang dipercayai laluan tikus turut ditutup menggunakan dawai berkawat. 

“Terdapat empat laluan keluar masuk ke daerah ini termasuk tiga lorong tikus yang dikenalpasti telah ditutup menggunakan dawai berkawat selaras pelaksanaan PKPD,”katanya ketika ditemui media di pintu kawalan utama Felda Umas, di sini.

Peter berkata, pihaknya juga akan memghantar pasukan pemantau bagi memastikan penduduk di Felda Umas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tidak ada pergerakan keluar masuk kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya mohon kerjasama semua penduduk khasnya para peneroka dan kakitangan Felda bagi membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19,”katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, penduduk di Felda Umas perlu bertenang dan bersabar kerana persiapan dari segi aspek kebajikan penduduk sedang diatur gerak oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kalabakan.

“Semua bantuan termasuk barang keperluan dan lain-lain akan disalurkan melalui PKOB Kalabakan yang diketuai Pegawai Daerah Kalabakan,”katanya.

 Peter (tiga kiri) menunjukkan peta kawasan keseluruhan Felda Umas yang dikuat kuasakan PKPD. 
PINTU UTAMA : Peter (tiga kiri) menunjukkan peta kawasan keseluruhan Felda Umas yang dikuat kuasakan PKPD. 

Sementara itu, beliau berkata sebuah pusat kuarantin dicadang untuk diwujudkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas-Umas bagi kes COVID-19 di kawasan Felda Umas jika keadaan memerlukan.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku di kawasan itu,”katanya.

Antara petugas keselamatan sepanjang PKPD di Felda Umas yang dilaksana sehingga 26 Oktober ini membabitkan anggota dari Balai Polis Kalabakan, Polis Bantuan Felda Umas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Terdahulu Felda Umas diumum sebagai lokasi pelaksanaan PKPD bermula Selasa berikutan peningkatan kes di kawasan berkenaan yang melibatkan 800 rumah dengan jumlah penduduk sebanyak 17,549 orang.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *