NGO Perubatan Hantar Lebih Ramai Sukarelawan Ke Sabah

Sebahagian aktiviti dijalankan sukarelawan perubatan MERCY Malaysia di Zon Merah COVID-19 di Lahad Datu, Sabah . – Foto ihsan MERCY Malaysia

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan dijangka menghantar lebih ramai sukarelawan dari Semenanjung untuk membantu pengendalian kes COVID-19 di Sabah, minggu ini.

NGO berkenaan antaranya ialah Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Pengurus Besar Operasi Program MERCY Malaysia, Said Alhudzairi Ibrahim, berkata seramai 13 petugas, masing-masing lima sukarelawan NGO berkenaan dan lapan lagi daripada IMARET akan diterbangkan ke Sabah, bagi misi itu.

Beliau berkata, beberapa sukarelawan MRA dan Yayasan Tzu Chi juga akan diterbangkan bagi menyertai misi sama di Sabah, minggu depan, dengan kemudahan logistik dan penginapan akan dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menjelaskan jumlah tepat sukarelawan diperlukan untuk membantu misi di Sabah dan KKM juga memerlukan petugas bukan daripada kementerian berkenaan.

“KKM memang sedang mencari sukarelawan untuk membantu tugas di hospital (perubatan) dan membuat pensampelan (kesihatan awam).

“Ia mengikut daerah yang mempunyai keperluan seperti di zon Pantai Timur, termasuk di Tawau, Lahad Datu dan Kunak, manakala di kawasan Pantai Barat pula di Kota Kinabalu, Tuaran serta Beufort,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Sabah dilapor terus menyumbang angka harian tertinggi bagi keseluruhan jumlah kes baharu dengan melaporkan 291 kes, iaitu 51.7 peratus, selain beberapa kematian sejak kebelakangan ini.

Selain itu, KKM kelmarin, dilapor merayu lebih ramai petugas perubatan dan kesihatan tampil menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk membantu usaha menangani gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan tumpuan adalah di Sabah yang menjadi Zon Merah pandemik itu ketika ini.

Ditanya bidang tugas sukarelawan berkenaan, Said Alhudzairi berkata, mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu pasukan perubatan serta kesihatan awam.

“Pasukan perubatan akan ditugaskan bagi kerja berkaitan keperluan di hospital, iaitu lebih kepada menjaga pesakit di wad seperti jururawat dan pegawai perubatan, manakala pakar pula menjurus kepada ‘internal medicine, intensivist’ serta pakar bius.

“Bagi sukarelawan kesihatan awam pula, doktor, jururawat dalam apa-apa bidang diperlukan dengan tugasan lebih kepada persampelan, saringan dan pengesanan kontak,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *