Anwar Akan Hadap Agong 11 Pagi, Kata Sumber

Anwar Ibrahim tidak mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya pada sidang media 23 Sept lalu.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 11 pagi ini, kata sumber.

Bulan lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ketua pembangkang itu berkata, Agong sudah menerimanya untuk menghadap, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada 21 Sept lalu.

Pada sidang media 23 Sept lalu, Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya dan berkata, beliau hanya akan berbuat demikian ketika menghadap Agong.

Beberapa parti dalam kerajaan menafikan memberi sokongan kepada Anwar, walaupun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar.

Minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Agong.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut meminta rakyat terus bertenang, menjaga kesihatan diri dan mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan yang sedang dilaksanakan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *