Seluruh Sabah Dikenakan PKPB Mulai Tengah Malam Ini

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh Sabah bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat susulan penularan jangkitan Covid-19.

“PKPB di seluruh Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober.

“Pergerakan keluar masuk merentas daerah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan.

“Hanya 2 orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail berkata, semua institusi pendidikan dan rumah ibadat diarah tutup.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman awam dan pusat rekreasi ditutup manakala pusat hiburan dan kelab malam tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, pasar borong, pasar harian dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, manakala kedai barang keperluan, kedai runcit, restoran, kedai makan, warung dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang untuk pembelian secara pandu lalu dan penghantaran.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan. Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan
beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat dikeluarkan oleh MKN.

“Perkhidmatan teksi e-panggilan dan penghantaran makanan dibenarkan dari 6 pagi hingga 8 malam, sementara perkhidmatan bas ekspres dan henti-henti tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Katanya, klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam, sektor perikanan, perladangan dan pertanian juga dibenarkan.

“Bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah,” katanya.

PKPD Felda Umas

Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Tawau, berkuatkuasa 12.01 tengah malam ini, hingga 26 Oktober, melibatkan 800 rumah dengan seramai 17,549 penduduk.

“Semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing. Laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada polis.

“KKM akan melakukan saringan bersasar kepada semua penduduk terlibat. Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *