Lebih Baik Bantu Kerajaan Tangani Covid-19 Daripada Terus Berangan Jadi PM, Jeffrey Beritahu Anwar

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim sepatutnya membantu usaha kerajaan dan rakyat menangani wabak Covid-19 bagi memulihkan ekonomi negara.

KOTA KINABALU: Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, adalah lebih baik Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyumbang tenaga serta membantu kerajaan memerangi Covid-19 daripada terus berangan-angan menjadi perdana menteri.

Katanya, Anwar harus sedar usahanya itu hanya akan merosakkan kredibilitinya dan dilihat sebagai seorang yang gila kuasa tanpa mempedulikan akibatnya kepada rakyat.

”Adalah lebih baik beliau menjalankan tanggungjawab membantu penduduk kawasannya sebagai ahli Parlimen Port Dickson dan menyumbang tenaga serta usaha membantu kerajaan dan rakyat memerangi musuh yang tidak boleh dilihat, iaitu wabak Covid-19.

”Penambahan kes jangkitan Covid-19 khasnya di Sabah mahupun dibawa oleh pengembara dari Sabah amat membimbangkan.

”Adalah diharapkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan tindakan terdesak Anwar, mereka harus berhati-hati dan mematuhi SOP agar keluk kes Covid-19 dapat dilandaikan dalam masa terdekat dan kita dapat balik ke landasan yang sepatutnya demi memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga timbalan ketua menteri turut menegaskan bahawa STAR menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

”Secara peribadi, saya menyokong penuh Muhyiddin untuk terus memimpin negara sebagai perdana menteri.

”Tidak timbul langsung soalan menukar pendirian dan sokongan kepada sesiapa pun yang berangan-angan mahu menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *