ATM Buka Hospital Medan Di Tawau

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengaktifkan hospital medan di Tawau, Sabah bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes selain COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara fokus hospital medan ATM itu termasuk pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin dan lain-lain.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini, mengenai keperluan menambah kemudahan perubatan bagi menangani situasi di Sabah berikutan jangkaan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.

“Hospital medan ini mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai lapan pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat, terdiri daripada satu komander, lima doktor pakar, tiga pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan.

“Pembukaan hospital medan ATM yang turut memberi tumpuan kepada kes selain COVID-19, maka Hospital Tawau boleh fokus sepenuhnya untuk merawat pesakit COVID-19,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik.

Katanya, ia termasuk membawa kakitangan perubatan ke Sabah serta dari Sabah pulang ke Semenanjung, selain membawa sampel saringan ujian calitan ke makmal di Semenanjung.

“Kita dimaklumkan kapasiti makmal berkurangan di Sabah sedangkan saringan begitu banyak di sana.

“Oleh kerana tidak mahu menunggu hasil keputusan ujian calitan ini terlalu lama, kita bersetuju untuk membawa sampel ujian ke makmal di Semenanjung,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *