PCS Tidak Bertanding PRK Batu Sapi

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) menyatakan pendirian tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Setiausaha Agung PCS, Ansari Abdullah, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi penularan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Sabah sedang dilanda jangkitan virus COVID-19 yang amat teruk dan sangat jelas prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 gagal membendung penularan virus itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, Sabah tidak mampu menanggung satu lagi penularan COVID-19 jika ada proses kempen dan pengundian PRK di Batu Sapi.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak bertanding pada PRK itu atas alasan yang sama.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, minggu lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Batu Sapi yang terletak dalam daerah Sandakan kini diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan

Bersyarat (PKPB) selepas dikategorikan sebagai zon merah dengan mencatat 156 kes aktif COVID-19, semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *