Jeffrey Akui PAS ‘Semasa Ke Semasa’ Gores Perasaan, Tapi Pembangkang Tak Perlu Ajar Rakyat Sabah

Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan, yang juga presiden STAR, menggesa orang ramai serta semua ahli parti itu agar tidak menghiraukan cemuhan dan hinaan yang dilemparkan kepada mereka susulan pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, sebagai Adun.

Mengakui pelantikan Aliakbar mengundang kritikan dan cemuhan pembangkang, beliau berkata rakyat Sabah tidak memerlukan parti politik mengajar mereka mengenai perpaduan dalam kalangan agama.

“Pemimpin PAS dari semasa ke semasa telah mengeluarkan kenyataan yang menggores perasaan serta sentimen rakyat dari pelbagai latar budaya dan agama di Sabah. Bagaimanapun, Sabah sebuah negeri yang wajar dicontohi dari segi perpaduan dalam kepelbagaian agama bersama-sama jiran kita, Sarawak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Aliakbar antara 4 individu yang menerima watikah pelantikan sebagai Adun daripada Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin di Istana Negeri hari ini.

Jeffrey turut menegaskan pelantikan itu prerogatif atau hak mutlak Ketua Menteri Hajiji Noor dan Aliakbar dilantik sebagai Adun tanpa menjalankan tugas menteri.

“Beliau tidak dilantik sebagai menteri undang-undang dan hal ehwal anak negeri seperti khabar angin yang disebarkan oleh DAP dan Warisan,” katanya.

Bercakap mengenai pelantikan hari ini secara keseluruhan, Jeffrey yakin barisan kepimpinan baharu dengan gabungan pemimpin lama yang berpengalaman dan pemimpin muda mampu membawa Sabah kembali ke laluan untuk menjadi sebuah negeri yang maju serta makmur. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *