DAP Gesa PBS, STAR Keluar Kerajaan Selepas Wakil PAS Dilantik Adun Sabah

Adun DAP Kapayan Jannie Lasimbang berkata petisyen dalam talian yang membantah pelantikan wakil PAS sebagai Adun menerima lebih 18,000 tandatangan.

KOTA KINABALU: Seorang Adun DAP menggesa PBS dan STAR menarik diri daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan wakil PAS dilantik salah seorang daripada 6 Adun hari ini.

Adun Kapayan Jannie Lasimbang berkata, penyokong STAR dan PBS tidak akan bersetuju dengan pelantikan wakil PAS dalam DUN, dengan menyatakan presiden parti itu sudah memberi jaminan ia tidak akan berlaku.

Lasimbang berkata, petisyen dalam talian membantah pelantikan wakil PAS sebagai Adun menerima lebih 18,000 tandatangan dalam tempoh kurang dari seminggu.ADVERTISING

“PBS dan STAR harus melakukan perkara yang betul dan menyatakan mereka akan menarik diri daripada kerajaan GRS selepas gagal menghentikan kemasukan PAS dalam kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lasimbang turut meluahkan kekecewaan kerana kekurangan wanita dilantik sebagai Adun, dan menyelar GRS yang hanya melantik 2 Adun wanita daripada gabungan itu sebagai pembantu menteri dalam kementerian sama.

“Ini bukan hanya menunjukkan GRS tidak percaya terhadap kebolehan Adun wanitanya, tetapi mencerminkan stereotaip dengan meletakkan mereka berdua di kementerian pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berterima kasih kepada ketua menteri Hajiji Noor kerana melantik Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, sebagai Adun lantikan.

Hadi menyifatkan pelantikan wakil PAS dalam DUN, buat kali pertama sebagai permulaan era baharu parti itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *