Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu Agak Lengang

Keadaan aliran trafik di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu pada hari pertama PKPB di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di bandar raya ini berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga serta orang awam.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Kota Kinabalu hari ini mendapati jalan raya utama sedikit lengang berbanding hari bekerja kebiasaannya.

Pasar kraftangan, pasar terbuka dan buah-buahan yang sering menjadi tumpuan masyarakat setempat serta pelancong ditutup sepanjang tempoh PKPB namun Pasar Besar Kota Kinabalu masih dibuka kepada umum sehingga jam 2 petang.

Stesen bas mini dan bas henti-henti di sekitar bandar raya juga sepi tanpa sebarang pengangkutan awam kecuali perkhidamatan teksi dan e-hailing yang dihadkan setakat jam 8 malam.

Dalam pada itu, beberapa premis yang menjual barangan keperluan harian seperti pasar raya, restoran, farmasi dan kedai serbaneka masih dibuka seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan di pusat beli-belah Centre Point mendapati kebanyakan kedai dalam gedung berkenaan tidak beroperasi.

Hanya kedai yang menyediakan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi oleh pihak pengurusan.

Malah hanya pengunjung yang mahu membeli barangan keperluan penting selain pekerja premis dibenarkan masuk ke dalam bangunan terbabit.

Timbalan Pengurus Besar Centre Point Megan Liu berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan yang diambil kerajaan pusat serta negeri dengan mengutamakan kesihatan serta keselamatan rakyat dalam usaha mengekang masalah berkaitan Covid-19 di Sabah.

“Semua premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan penting hanya dibenarkan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Makanan dan minuman dari restoran serta gerai makanan yang terdapat dalam bangunan ini hanya dibenarkan dibawa pulang atau pembelian menerusi khidmat penghantaran,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bermula 7 hingga 16 Oktober ini sebagai langkah mengatasi penularan wabak Covid-19 yang meningkat secara mendadak.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *