PKPB: Operasi Bas Henti-Henti & Bas Ekspres Dihentikan Sementara

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Semua perkhidmatan pengangkutan awam kecuali perkhidmatan teksi, e-hailing dan penghantaran makanan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan diberhentikan sementara bermula esok.

Dengan itu, semua perkhidmatan bas henti-henti, bas mini, bas ekspres dan kereta sewa tidak dibenarkan beroperasi dan memasuki kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Lembaga Pelesanan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa mulai 7 hingga 20 Oktober ini.

Waktu operasi perkhidmatan teksi dan e-hailing bermula 6 pagi hingga 8 malam. Penumpang yang dibenarkan hanya 2 orang sahaja.

Manakala, perkhidmatan penghantaran makanan boleh beroperasi bermula 6 pagi hingga 6 petang.

Semua penumpang, pemandu teksi dan e-hailing dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan seperti wajib memakai topeng muka dan sentiasa mematuhi penjarakan sosial ketika berada dalam kenderaan.

Semua pemandu teksi dan e-hailing juga diwajibkan membuat pembersihan kenderaan dan fasiliti setiap trip di terminal atau depot selepas tamat waktu operasi.

Penumpang yang bergejala pula tidak dibenarkan menaiki kenderaan pengangkutan awam.

Untuk pemandu teksi dan e-hailing, mereka tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan PKPB sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB.

Pejabat LPKP Sabah di Kota Kinabalu akan turut ditutup sepanjang tempoh ini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *