Covid-19 Semakin Serius, Sabah Perlu Menteri Kesihatan, Kata DAP

Frankie Poon berkata urusan kesihatan di Sabah tidak harus diletakkan pada bahu seorang pengarah kesihatan sahaja.

KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon, menggesa pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor segera melantik seorang menteri kesihatan, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 mutakhir ini.

Beliau berkata urusan kesihatan tidak harus diletakkan pada bahu seorang pengarah kesihatan sahaja, memandangkan keluasan negeri yang hampir 40% daripada Semenanjung, selain populasi yang ke-3 terbanyak di Malaysia.

“Sabah mempunyai 26 daerah,” katanya kepada FMT. “Seorang menteri diperlukan bagi memudahkan pengurusan.”

Frankie berkata Sabah ketika ini perlukan seorang menteri untuk segera bertindak dan menjaga hal kesihatan, seperti mendapatkan dan memastikan bantuan perubatan mencukupi dan tiba tepat pada masa, termasuk dalam bentuk kepakaran.

“Wabak Covid-19 harus diberi perhatian dan tindakan segera perlu dilakukan bagi menenangkan rakyat Sabah,” tambahnya.

“Mengatasi masalah kakitangan perubatan di Sabah juga perkara yang harus ditangani dengan serius pada masa kini dan akan datang.”

Frankie mengingatkan kerajaan negeri bahawa isu kesihatan mempunyai kesan pada ekonomi.

“Pemain industri hanya akan melabur di tempat-tempat yang mempunyai rawatan kesihatan baik dan jika ianya sebaliknya, sudah pasti ia akan menghalang pelabur untuk datang ke sini.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *