Covid-19: Masjid, Surau Di KK, Putatan & Penampang Ditutup

Masjid Negeri Sabah di Sembulan

KOTA KINABALU: Pejabat Mufti Negeri Sabah menetapkan masjid dan surau di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan ditutup berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 16 Oktober.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, ketetapan terbabit diambil berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah terbabit.

“Aktiviti dan program di masjid dan surau termasuk solat berjemaah adalah tidak dibenarkan kecuali untuk melaungkan azan pada lima waktu solat.

“Muazzin hendaklah melaungkan azan dengan menambah lafaz dengan ucapan ‘solatlah di rumah-rumah kamu’ selepas azan supaya dapat difahami masyarakat beragama Islam di sekitarnya.

“Selain itu, solat Jumaat pada 9 dan 16 Oktober adalah tidak dibenarkan dan oleh sebab itu, ahli kariah wajib melaksanakan solat Zuhur di kediaman atau tempat masing-masing pada masa solat Jumaat itu,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, beliau turut memperincikan semua masjid dan surau yang berada dalam zon merah adalah ditutup sehingga 16 Oktober.

Katanya, bagi masjid dan surau yang berada dalam zon kuning dan hijau, ia dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dan solat berjemaah lima waktu mengikut ketetapan tertentu.

“Bagi masjid dan surau di zon kuning dan hijau, bilangan ahli jemaah solat Jumaat yang dibenarkan adalah 40 orang dan jemaah solat lima waktu adalah 12 orang.

“Bilangan ini termasuk ahli jawatankuasa masjid, imam dan khatib.

“Aktiviti dan program di masjid dan surau ditangguhkan sepanjang tempoh masjid dan surau ditutup,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *