Senarai Palsu, Kami Tak Sokong Anwar – Bung

Bung Moktar (kiri) dan Mohamad menafikan menyokong Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu.

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Umno Kimanis Datuk Mohamad Alamin menafikan menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baharu persekutuan menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Mohamad membuat penafian itu apabila nama mereka dikaitkan antara wakil rakyat Umno yang dikatakan tersenarai menyokong Anwar seperti tersebar di media sosial sebelum ini.

Sambil menegaskan beliau tidak tahu mengenai senarai berkenaan, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyatakan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan gerakan menukar kerajaan diketuai Anwar adalah palsu.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini. Saya hanya dimaklumkan kononnya nama saya ada dalam senarai yang disebarkan sebuah portal dan tular di media sosial.

“Berikutan itu saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan saya pernah atau terbabit menyokong gerakan menubuhkan kerajaan baharu diketuai Ahli Parlimen Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar sebelum ini mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkannya membentuk kerajaan baharu dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, tumpuan Umno Sabah ketika ini adalah untuk memajukan negeri dan memperbaiki taraf hidup rakyat sejajar ikrar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mengambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September lalu.

Katanya, dengan berakhirnya PRN itu, masa berpolitik juga sudah tamat dan digantikan dengan agenda memulihkan pembangunan negeri serta menangani penularan pandemik Covid-19.

“Masa berpolitik sudah berlalu, sekarang kita tumpu usaha membangunkan negeri dan membela nasib rakyat, lebih-lebih lagi ketika ini Sabah berdepan dengan gelombang kedua Covid-19.

“Kehidupan rakyat semakin terjejas disebabkan penularan pandemik berkenaan yang semakin membimbangkan terutama di kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang namanya turut didakwa menyokong Anwar, menyangkal dakwaan berkenaan selain menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kimanis itu menegaskan pendirian beliau untuk kekal bersama Umno dan menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau benar Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu, beliau sepatutnya membuktikan perkara itu di Dewan Rakyat, bukan di hotel atau sidang media,” katanya.

Anwar dalam satu sidang media sebelum ini membuat kejutan apabila mengumumkan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa senarai Ahli Parlimen terbabit akan dibawa mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan baginda berhubung pembentukan kerajaan baharu pimpinannya.

Semalam, satu senarai nama Ahli Parlimen dikatakan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri Kesembilan tersebar di media sosial.

Ia adalah senarai kedua selepas senarai awal sejurus Anwar membuat pengumuman berhubung dakwaan perubahan kerajaan pada akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini menyatakan senarai yang tular itu adalah tidak benar selain menafikan ia dikeluarkan parti berkenaan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *