Tangani COVID-19 Keutamaan Kerajaan : Bung

Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerajaan yang baharu berharap syor ‘lockdown’ di Kota Kinabalu boleh mengekang penularan virus Covid-19 daripada terus meningkat secara mendadak.

Katanya, usaha menangani pandemik virus itu di negeri ini menjadi keutamaan pentadbiran di bawah kerajaan yang baharu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menyatakan perkara itu ketika memulakan tugasnya di pejabatnya di kementerian berkenaan baru baru ini semasa beliau melaporkan diri untuk mula bertugas.

“Kota Kinabalu ketika ini menjadi zon merah. Malah terdapat cadangan supaya ‘lockdown’ dilakukan di bandaraya ini. Cabaran besar kita ialah bagi menangani Covid-19,” katanya kepada wakil media.

Menurut beliau, ia diharap tidak akan merebak ke daerah lain dan boleh diurus serta dapat dikawal.

Pada ketika ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) sedang dilaksanakan di empat daerah di pantai timur iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Pada Selasa lalu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi turut menjelaskan bahawa ibu negeri masih lagi di tahap zon kuning.

“Kami menggunakan tempoh 14 hari untuk memantau keadaan kes. Tempoh ini akan berbeza setiap hari,” katanya.

Sementara itu, dalam taklimat KKR terdahulu, selaku menteri, Bung Moktar akan mempengerusikan empat jawatankuasa dan dua mesyuarat di kementerian berkenaan.

Empat jawatankuasa yang akan dipengerusikan beliau ialah Jawatankuasa Pemandu Projek, Jawatankuasa Bekalan Air Negeri Sabah, Jawatankuasa Perkhdimatan Pembentungan Negeri Sabah, Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Sabah dan mempengerusikan mesyuarat pagi bersama jabatan dan agensi kementerian serta mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *