PKR Sabah Tolak PAS Dilantik Dalam Kabinet Negeri

Christina Liew

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menentang sepenuhnya cadangan untuk melantik sorang wakil dari PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew  berkata, PAS pada masa kini adalah rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan cadangan untuk memberikan laluan kepada wakil PAS dilantik sebagai ADUN Dilantik tidak dapat diterima oleh rakyat Sabah memandangkan masyarakat negeri ini terdiri daripada pelbagai lapisan komuniti, agama dan budaya yang sentiasa harmoni bersama.

“Rakyat Sabah mengamalkan prinsip kesederhanaan dan konsep kesatuan dalam kepelbagaian. Kita menentang budaya atau amalan politik pepecahan yang boleh memecah belahkan kaum di negeri ini.

“Kita menentang sebarang ideologi politik yang bertentangan dengan kepelbagaian kaum dan tidak akan menerima sebarang agenda politik yang berdasarkan ekstremisme,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, rakyat menolak cadangan untuk melantik wakil PAS dalam DUN Sabah kerana tindakan itu boleh menjejaskan amalan kepelbagaian budaya di negeri ini.

Katanya, rakyat Sabah berbangga dengan budaya kesatuan yang diamalkan dan sangat mencintai keamanan.

Christina berkata demikian ketika membalas kenyataan pemimpin PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir yang mahukan seorang ADUN Dilantik dari PAS dalam Kabinet Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa turut menjelaskan bahawa PAS dijangka akan mendapat satu jawatan ADUN Dilantik dalam DUN negeri ini.

Berikutan dengan kebimbangan itu, Christina yang juga mantan  Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, cadangan itu ditolak rakyat Sabah sama sekali berdasarkan satu petisyen yang kemukakan kepada Kerajaan Sabah iaitu ‘PAS IS NOT ALLOWED IN SABAH CABINET’.

Kempen untuk mendapatkan tandatangan itu bermula pada tiga hari lalu oleh kumpulan ‘Better Sabah’ dengan harapan mencapai sasaran sebanyak 25,000 tandatangan.

Christina turut menjelaskan PAS tidak bertanding sebarang Kerusi di Pilihan Raya Negeri baru-baru ini dan parti berkenaan tidak pernah menang dalam pilihan raya di Sabah.

“Kekalahan PAS dalam semua pilihan raya sebelum ini di Sabah membuktikan bahawa parti berkenaan tidak dialu-alukan oleh rakyat Sabah,” katanya. –

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *