Penjala Ikan Ditemui Lemas Di Sungai Kiulu

Mayat mangsa, Benjamin Yunus ditemui penduduk di Sungai Kiulu berhampiran sebuah sekolah menengah di Kiulu, Tuaran. – Foto Ihsan Bomba

TUARAN: Lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di Sungai Kiulu di sini, malam tadi, ditemui lemas hari ini.

Mayat Benjamin Yunus, 47, ditemui penduduk di celah timbunan batang buluh di tepi sungai berhampiran sebuah sekolah menengah kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai orang awam bermula jam 8.27 pagi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan.

Katanya, seramai lapan anggota bomba dan satu jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pada jam 8.46 pagi tadi, pasukan penyelamat menerima maklumat mangsa sudah ditemui orang awam dan operasi ditamatkan.

“Mangsa yang menetap di Kampung Poturidong, Kiulu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa memaklumkan lelaki itu tidak kembali ke rumah selepas keluar menangkap ikan pada jam 9 malam.

“Operasi ditamatkan jam 10.40 pagi selepas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak polis tiba,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital Tuaran untuk bedah siasat manakala kes masih dalam siasatan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *