Penumpang Bot, Jemaah Solat Jumaat Labuan Diminta Buat Saringan COVID-19

LABUAN: Pengunjung dua tapak jualan pakaian terpakai (bundle), penumpang bot laju Menumbok-Labuan dan sekumpulan jemaah solat Jumaat di Labuan, diminta menjalani saringan COVID-19 kerana individu yang didapati positif jangkitan virus itu, pernah berada di lokasi terbabit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, berkata tapak jualan pakaian terpakai yang dimaksudkan ialah Tapak Pesta Bundle Ujana Kewangan di antara 17 sehingga 21 September dan Tapak Pesta Bundle bersebelahan Hotel Dorsett Grand Labuan antara 23 hingga 26 September perlu menjalani saringan COVID-19 serta merta selepas seorang penjual di sana didapati positif jangkitan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari. – Foto BERNAMA

“Turut diminta menjalani saringan dengan segera ialah penumpang bot laju Menumbok- Labuan dan individu yang berada di ruang menunggu Terminal Jeti Menumbok pada 22 September.

“Selain itu, mereka yang menunaikan solat Jumaat di Surau Nurul Islam Bandar Labuan (Masjid India) pada 25 September juga perlu menjalani saringan kerana seorang individu dijangkiti berada di tempat berkenaan,” katanya.

Dr Ismuni berkata, pengumuman memanggil individu yang pernah berada di tempat berkenaan menjalani saringan COVID-19 sudah dikongsi dengan meluas dalam kalangan masyarakat Labuan dan kumpulan WhatsApp agensi kerajaan dan platform media sosial lain.

“Memandangkan kami mempunyai pesakit dari tapak jualan bundle dan seorang lagi pergi terminal jeti dan surau, kami mengingatkan mereka yang pernah berada di sana menjalani saringan COVID-19 dengan kadar segera,” katanya.

Labuan mencatatkan satu kes baharu pada Jumaat lalu, menjadikan jumlah kes di pulau bebas cukai itu kepada 29 dengan sifar kematian.

Ismuni juga menggesa mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah supaya mematuhi sepenuhnya arahan itu dan mengamalkan penjarakan fizikal dengan anggota keluarga termasuk duduk di bilik berasingan dan tidak menggunakan bilik air yang dikongsi dengan yang lain.

Beliau juga mendedahkan lebih daripada 8,000 sampel yang diambil sejak Sabtu lepas untuk saringan COVID-19, kebanyakannya daripada mereka yang baharu kembali dari Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *