Hajiji Tekad Perhebat Momentum Pembangunan Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor – Foto PENERANGAN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor hari ini berkata, kerajaan negeri yang baharu di bawah pimpinannya bertekad untuk memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri sebagaimana pernah dicapai sedikit masa dulu.

Beliau berkata, ia termasuk menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif meliputi pelbagai sektor, sambil memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta meningkatkan kualiti pendidikan.

“Kerajaan Sabah juga komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkat tahap keselamatan negeri.

“Yang lebih penting membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan dan terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Hajiji berucap demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini.

Hajiji juga bersyukur Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-16 berlalu dengan aman serta tenteram dan berkat restu serta sokongan Yang Dipertua Negeri, kerajaan negeri baharu sudah dibentuk.

“Saya bersama-sama barisan kepemimpinan negeri yang baharu, bertekad dan komited untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan penuh rasa keinsafan, ikhlas dan dedikasi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Juhar ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, rakyat Sabah amat menghargai kestabilan serta keharmonian hidup yang dikecapi sejak turun-temurun.

“Perasaan kekitaan dan saling menghormati adalah nilai budaya hidup yang akan terus kita semai serta amalkan supaya kemakmuran dan kesejahteraan dapat dikekalkan selama-lamanya.

“Kerajaan negeri dan seluruh rakyat berikrar untuk menumpahkan sepenuh taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk terus menaungi Sabah tercinta ini,” katanya.

Hajiji mewakili rakyat Sabah mengucapkan selamat ulang tahun kepada Juhar dan mendoakan Yang Dipertua Negeri dipanjangkan umur dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat serta sejahtera.

Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri serta berharap mereka akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam untuk terus berbakti, sekali gus memperkukuhkan usaha memaju dan memakmurkan Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *