“Bertenang, Jangkitan COVID-19 Terkawal” – Perdana Menteri

Muhyiddin yakin pasukan barisan hadapan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta seluruh rakyat Malaysia supaya bertenang dalam menghadapi penularan COVID-19 pada masa ini.

Menurut beliau, situasi terkini jangkitan COVID-19 dalam negara masih terkawal dan dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai pihak.

Mengakui memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19, Muhyiddin memberi jaminan dan komitmen bahawa kerajaan akan terus mengawal dan menguruskan penularan jangkitan virus itu sebaik mungkin.

“Saya ingin menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan COVID 19 pada masa kini.

“Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik.

“Marilah kita bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi semua SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya pada Sabtu pagi.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata, pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan jumlah kes jangkitan COVID-19 dari Sabah sehingga 2 Oktober 2020 ialah 139 orang iaitu 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di dalam Negara.

“Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan di dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan dari kluster-kluster yang telah pun dikenal pasti dan terkawal.

“Kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan.

“Hal ini menyebabkan lebih banyak kes positif COVID-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara,” ujarnya.

Malah, katanya kerajaan turut memutuskan supaya semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan disaring dan ditempatkan di Pusat-Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan.

Selain itu, anggota keselamatan serta aset juga akan ditambah untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI khususnya di negeri Sabah. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰Â https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *