SPR Sahkan Tiga Petugas Dijangkiti COVID-19

Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 2 Okt : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini mengesahkan tiga petugasnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangkiti COVID-19.

Ketika dihubungi Bernama, Abdul Ghani berkata selain tiga petugas itu yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, kesemua petugas SPR lain yang terlibat dengan pilihan raya itu diarah supaya menjalani kuarantin dua minggu.

Sebelum ini, sebuah media portal melaporkan dua petugas SPR dijangkiti COVID-19 selepas pulang daripada bertugas pada PRN Sabah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewajibkan semua pegawai SPR yang bertugas di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

“Mungkin kita akan lihat mereka yang kembali dari Sabah terutama mereka yang berkhidmat di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak yang ada kebarangkalian dijangkiti (COVID-19).

“Jadi kita laksanakan saringan ujian dan mereka perlu duduk (kuarantin) di rumah. Sekiranya positif mereka akan masuk ke hospital untuk rawatan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *