‘Keluarga Akan Membuat Kenyataan Rasmi’

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada jam 11.50 pagi hari ini.

Perkara itu disahkan pegawai beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu.

Ahli keluarga sebelum ini memohon diberikan ruang serta privasi berkaitan keadaan kesihatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) itu.

Menurut sumber, hanya pihak keluarga akan memberikan sebarang kenyataan apabila tiba waktu yang bersesuaian.

“Sekiranya hal berkaitan dengan Datuk VK, keluarga akan membuat kenyataan rasmi mengenai perkara berkenaan pada waktu yang sesuai.

“Hingga saat ini kami berharap privasi mereka dapat dihormati,” katanya.

Berita mengenai kesihatan mendiang mula diperkatakan selepas terdapat beberapa pesanan di laman sosial yang meminta orang awam mendoakan Liew yang didakwa berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru.

Liew yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah tidak kelihatan sejak pengumuman calon parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kira-kira dua minggu lalu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *