Hajiji Gesa Rakyat Sabah Patuhi Kawalan Rentas Daerah, Bendung Penularan COVID-19

Foto BERNAMA

TUARAN, 2 Okt: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor menggesa rakyat Sabah untuk mematuhi arahan Kawalan Rentas Daerah, yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt, bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata kerjasama rakyat amat penting, dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak itu, dengan sentiasa berwaspada dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Saya berharap rakyat memberi kerjasama demi kebaikan mereka. Amalkan SOP yang telah ditetapkan. Kita kena berwaspada dan berhati-hati kerana wabak ini masih berada dalam kalangan kita.

“Usaha membanteras wabak ini bukan mudah, tetapi apa yang penting untuk kita di Sabah, hadkan pergerakan. Duduk di rumah kecuali ada keperluan mustahak. Jangan melepak atau pergi ke tempat yang boleh dapat jangkitan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah, namun perkhidmatan perlu seperti bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan, untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Sepanjang tempoh itu, mereka yang tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *