COVID-19: Kementerian Kesihatan Jangka Kemungkinan Bermula Gelombang Baharu Penularan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjangkakan kemungkinan bermula gelombang baharu penularan COVID-19, berdasarkan carta lonjakan kes yang merekodkan angka jangkitan baharu kedua tertinggi, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sejak akhir-akhir ini, negara mencatatkan peningkatan kes positif wabak berkenaan.

Justeru, beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melandaikan semula lengkuk jangkitan itu.

“Terpulang kepada kita untuk melandaikan lengkuk itu. Kita sudah melakukannya sebelum ini dan boleh melakukannya sekali lagi.

“Namun kali ini, kita sudah ada pengalaman,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tindakan kesihatan awam sudahpun dilaksanakan di Sabah, dua minggu sebelum pengumuman mewajibkan individu pulang atau datang dari Sabah untuk menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 27 September lalu hingga 10 Oktober ini.

Berikutan tindakan kesihatan awam itu, katanya, Kementerian Kesihatan berupaya melaporkan pengesanan kes jangkitan harian.

Beliau berkata, ketika itu, Kerajaan Sabah sudah mengarahkan pasar ditutup, selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuhkan kawalan sempadan di negeri berkenaan.

“Bezanya, kita tidak mengumumkan perkara itu tetapi aktiviti berkenaan sudah dilaksanakan pada peringkat bawahan.

“Sebagai contoh, kita sudah menghantar doktor ke Sabah membabitkan empat daerah, selain peralatan seperti alat perlindungan peribadi (PPE) di kawasan tertentu.

“Selain itu, enam hospital dikenal pasti sebagai hospital COVID-19, iaitu Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas,” katanya.

Beliau mengulas pandangan orang awam bahawa arahan mewajibkan ujian saringan terhadap mereka yang tiba dari Sabah sepatutnya dilaksanakan lebih awal berikutan peningkatan kes mula dikesan sebelum 27 September lalu.

Dr Noor Hisham sekali gus menjelaskan, jika arahan mewajibkan ujian saringan bermula 25 September lalu, akan timbul isu pengundi tidak mahu pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *