Covid-19: Sarawak Larang Kemasukan Dari Sabah & Labuan

Unggah pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak mengambil langkah tegas dengan melarang semua warga Malaysia dan bukan warga negara yang berada di Sabah dan Labuan daripada memasuki negeri ini dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, larangan itu berkuat kuasa mulai Ahad ini sehingga 18 Oktober.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, langkah itu diambil berikutan peningkatan kes positif Covid-19 setiap hari di luar Sarawak.

“Negara jiran, Brunei juga sudah memperketatkan kemasukan warga negara asing dari pos-pos kawalan sempadan darat mereka, justeru JPBN merangka strategi untuk melindungi negeri ini daripada terus menerima masuk kes import dari luar Sarawak,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, di sini, hari ini.

Uggah berkata, bagi rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan pula, mereka dibenarkan balik ke negeri ini, namun perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka akan dikenakan kuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR Covid-19 pada hari kedua dan ke-10. Kos kuarantin dan ujian RT-PCR Covid-19 akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak,” katanya.

Bagi sektor minyak dan gas pula, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada masih diterima pakai manakala bagi sektor yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting termasuk perkhidmatan penghantaran menggunakan jalan darat merentasi sempadan Malaysia-Brunei, mereka perlu mendapat surat khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian iaitu Miri atau Limbang dan wajib mengambil ujian RT-PCR Covid-19 sebelum memulakan tugasan.

“Bagi yang perlu melalui Brunei juga, mereka perlu patuh kepada semua arahan terkini yang dikeluarkan oleh kerajaan negara itu,” katanya.

Mengenai kemasukan ke Sarawak dari Semenanjung pula, semua warga negara Malaysia dan bukan warga negara perlu membuat permohonan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka juga akan dikuarantin selama 14 hari dan ujian Covid-19 diambil pada hari kedua dan ke-10 dengan kos kuarantin dan ujian Covid-19 akan ditanggung oleh mereka sendiri.

“Rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung pula dibenarkan balik tetapi mereka perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan selain dipakaikan wristband dan dikenakan kuarantin selama 14 hari dengan kos kuarantin dan ujian RT-PCR Covid-19 akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak.

“Semua arahan ini adalah berkuat kuasa mulai 4 Oktober hingga 18 Oktober 2020,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *