Projek Pan Borneo Akan Dipercepatkan – Bung

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Projek lebuh raya Pan Borneo di negeri ini akan diperincikan agar pelaksanaannya dapat bergerak pantas sebagaimana projek di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pelaksanaan Pan Borneo di Sabah hanya sekitar 20 peratus berbanding Sarawak yang sudah mencapai 50 peratus siap.

Menurutnya, perkara itu dilihat tidak masuk akal memandangkan kedua-dua negeri bergerak melaksanakan projek berkenaan bersama-sama.

Sehubungan itu, beliau akan memperincikan projek itu secara spesifik untuk memastikan Pan Borneo di Sabah dapat dilaksanakan dengan pantas.

Usaha itu juga katanya, bagi memastikan rakyat di Sabah dapat menikmati kemudahan jalan raya yang baik seperti negeri-negeri yang lain.

“Kita sudah tertinggal berbanding Sarawak yang sudah melaksanakan projek Pan Borneo sekitar 50 peratus, sedangkan Sabah baharu 18 hingga 20 peratus.

“Nampak tidak masuk akal sedangkan kita sama-sama bergerak tapi kita ketinggalan. Kenapa Sarawak boleh, Sabah tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas masuk secara rasmi ke pejabatnya di Kementerian Kerja Raya bagi memulakan tugas rasminya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau akan mendengar taklimat lanjut daripada Jabatan Air berhubung isu empangan Papar.

Katanya, buat masa ini pihaknya hanya perlu menunggu maklumat lanjut mengenai perkembangan isu berkenaan.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *