140 Pegawai Perubatan Ditempatkan Di Sabah

KUALA LUMPUR: Seramai 140 Pegawai Perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) akan ditempatkan di Jabatan Kesihatan Sabah mengikut kekosongan dan keperluan perkhidmatan semasa termasuk di klinik, hospital serta pejabat kesihatan bermula Oktober ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan secara berterusan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan Covid-19 di negeri itu.

“Selain itu, mobilisasi pasukan bantuan kesihatan dan perubatan ke Sabah bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan serta kebajikan petugas kesihatan dan perubatan juga perlu diutamakan bagi memastikan mereka selaku aset utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik.

“Ini termasuk aspek logistik, latihan, keperluan Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian dengan tugasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut menggerakkan pasukan bantuan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak bagi membantu menangani penularan Covid-19 di sana.

“Mobilisasi pasukan bantuan secara dalam negeri di Sabah dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes di sana lagi.

“Selain itu, KKM juga menggerakkan pasukan bantuan secara berperingkat dari Sarawak, Wilayah Persekutuan, Labuan dan Semenanjung Malaysia bermula 23 September lalu mengikut kawasan dan skim perkhidmatan pasukan bantuan perubatan dan kesihatan awam,” katanya.

Menurutnya, pasukan bantuan akan membantu melakukan pengesanan kontak, saringan komuniti di lapangan, menjaga pusat kuarantin dan hospital.

“Selain itu, seramai 10 Pegawai Sains Mikrobiologi dan lima Juruteknologi Makmal (JTM) dihantar ke Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu bagi membantu proses saringan Covid-19 di makmal.

“KKM juga mula mengarahkan seramai 72 Jururawat Terlatih (JT) untuk bertugas di Hospital Kunak, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Tenom, Hospital Beluran, Hospital Keningau, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Hospital Kota Belud,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *