Musa Ucap Tahniah Kepada Hajiji

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Musa dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri amat tepat berikutan Hajiji pernah berkhidmat ketika beliau menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Sabah sebelum ini.

“Saya sudah lama mengenali Hajiji dan beliau sudah lama berkhidmat sebagai menteri dalam kabinet semasa saya masih seorang Ketua Menteri.

“Beliau sentiasa memberi komitmen penuh dan profesional terhadap tanggungjawabnya ketika itu.

“Walaupun Hajiji adalah seorang individu yang penyayang namun pada masa yang sama beliau adalah pemimpin yang tegas, dapat membuat keputusan tanpa rasa takut mahupun pilih kasih.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan dan pengalamannya. Beliau mempunyai kapasiti untuk memimpin Sabah, membawa kebangkitan ekonomi yang sangat diperlukan untuk rakyat dan pembangunan negeri ini di masa depan,” katanya.

Datuk Hajiji Noor sah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 selepas mengangkat sumpah pada pagi ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *