KWSP Lahad Datu, Tawau Ditutup Mulai Hari Ini

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunternya di Lahad Datu dan Tawau, Sabah, mulai hari ini.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP menerusi kenyataan hari ini berkata, penutupan berkenaan adalah selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat kawasan di Pantai Timur Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

“Penutupan ini akan dilaksanakan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Justeru, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) membabitkan cawangan KWSP Lahad Datu dan Tawau dibatalkan serta merta dan mereka terbabit perlu membuat semula janji temu tersebut selepas PKPDB ditamatkan.

“Ahli dan majikan bagaimanapun masih boleh menggunakan perkhidmatan secara dalam talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun Majikan), yang beroperasi seperti biasa,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.

Oleh demikian, ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.

“Untuk penjelasan lebih lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03-8922 6000.

“Dalam tempoh mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau menerusi saluran digital. Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan dan segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan PKPDB bermula jam 12.01 tengah malam ini, di empat kawasan terbabit selama dua minggu, iaitu sehingga 12 Oktober ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *