Polis Halang Himpunan Anak Muda Sabah

Pasukan polis termasuk Pasukan Light Strike Force (LSF) PDRM berkawal di kawasan Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Cubaan hampir 100 anak muda berhimpun di Padang Merdeka di sini, sebentar tadi, dihalang pasukan polis sebelum sempat mereka memasuki kawasan berkenaan.

Pergerakan mereka yang membawa sepanduk provokasi terhadap Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dihalang polis sejurus mereka melintas jalan utama di sini.

Ketua mereka yang mendakwa bergerak atas nama Anak Muda Sabah, Ashaari Jaafar berkata, tujuan mereka mengadakan himpunan itu bertujuan mendesak Juhar untuk segera melantik Ketua Menteri.

Katanya, anak muda sudah hilang sabar dengan kemelut politik di Sabah dan mahu masalah pelantikan Ketua Menteri itu dimuktamadkan segera.

“Kami anak muda tidak mahu istana terbabit dengan politik dan adil kepada nasib orang Sabah. Pilihan sudah dibuat dan sepatutnya Ketua Menteri sudah dilantik.

“Kenapa mahu ambil masa yang begitu lama untuk buat lantikan sedangkan Sabah kini dalam masalah Covid-19,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan media di lokasi juga mendapati terdapat lebih 30 anggota polis termasuk dari pasukan Light Strike Force (LSF) sudah bersedia di sini sejak jam 1 petang bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Difahamkan, LSF dikerahkan ke lokasi berkenaan kerana ada dakwaan akan berlaku himpunan di lokasi itu pada jam 2 petang.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *