PBS Dakwa ‘Parti Kapal’ Hubungi Pemimpinnya Untuk Beli Kerusi, Tawar Duit & Jawatan

PBS mendakwa disebabkan mahukan jawatan dan kuasa, terdapat pihak tertentu daripada “parti kapal” mula menghubungi pemimpin parti itu bertujuan untuk membeli kerusi.

PETALING JAYA: PBS hari ini mendakwa parti itu dijadikan sasaran fitnah susulan kemelut pelantikan calon ketua menteri Sabah yang sehingga kini masih belum selesai.

Parti itu dalam kenyataan di Facebook berkata, disebabkan mahukan jawatan dan kuasa, terdapat pihak tertentu daripada “parti kapal” mula menghubungi pemimpin daripada parti itu bertujuan untuk membeli kerusi.

“Mainan politik kotor parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti kini berubah wajah, berubah rupa.

“Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik daripada parti Malaya tetapi sebenarnya bertopengkan musang. Kerana mahukan jawatan dan kuasa, parti kapal ini mula menghubungi Yang Berhormat (YB) PBS untuk beli kerusi.

“Mereka sanggup menawar duit dan jawatan untuk YB PBS,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai menafikan dakwaan akan bersatu tenaga dengan Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, PBS berjaya memperoleh kemenangan di 7 kerusi ditandingi mereka. Kerusi itu adalah di DUN Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid.

Menurut parti itu, PBS bukan parti yang baru dibina serta bukan parti murahan dan tidak berwibawa. Katanya, PBS terbentuk daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

“Sedarlah wahai Warisan Plus, PBS bukan parti yang baru dibina kelmarin, PBS bukan parti yang murahan dan tidak berwibawa.

“PBS pernah dianiaya, difitnah dan dicaci, tapi PBS kekal berdiri untuk rakyat. PBS berpegang pada prinsip dan maruah, PBS akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS menang 38 daripada 73 kerusi dipertandingkan pada PRN Sabah sekali gus berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Warisan Plus pula memenangi 32 kerusi, manakala bakinya dikuasai calon bebas.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *