Shafie Tak Boleh Dilantik Ketua Menteri Baharu

Mohd Shafie tidak boleh dilantik Ketua Menteri yang baharu kerana tidak memiliki sokongan majoriti dalam DUN Sabah.

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak boleh dilantik Ketua Menteri yang baharu kerana tidak memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, menegaskan ia selaras Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah yang memperuntukkan Yang di-Pertua Negeri perlu melantik Ketua Menteri dalam kalangan individu yang memiliki sokongan majoriti dalam DUN Sabah.

Selain itu, katanya, WARISAN yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, tidak boleh dibenarkan menubuhkan kerajaan negeri dan memilih Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, kerana ia bertentangan prinsip demokrasi politik selain menyebabkan kewujudan mana-mana gabungan politik sebagai tidak bermakna.

“Ketika ini, dikatakan WARISAN boleh menubuhkan kerajaan negeri dan melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, membelakangkan 41 kerusi milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya kerana mereka adalah parti yang menang kerusi tertinggi dalam PRN.

“Namun, berdasarkan logik dan pemahaman undang-undang, jelas Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah memperuntukkan calon Ketua Menteri memiliki sokongan majoriti dalam DUN, dan tidak hanya sekadar melihat parti mana memiliki kerusi terbanyak dalam pilihan raya walaupun tiada sokongan majoriti dalam DUN.

“Perkara 6 (7) Perlembagaan Sabah yang digunakan Mohd Shafie dalam cubaan terdesaknya untuk kekal berkuasa, tidak terpakai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkara 6 (7) Perlembagaan Sabah memperuntukkan jika parti menang majoriti kerusi dalam PRN, ketua parti itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh dianggap memiliki sokongan majoriti dalam DUN, sekali gus membolehkannya dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.

Annuar berkata, GRS merangkumi BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah kerajaan negeri yang sah apabila berjaya meraih 38 kerusi, ditambah sokongan tiga kerusi Bebas, menjadikan keseluruhan 41 daripada 73 kerusi.

WARISAN pula hanya meraih 29 kerusi, ditambah dua kerusi PKR dan satu kerusi Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), menjadikan keseluruhan 32.

Selain itu, kata Annuar, dalam kes Tan Sri Musa Aman mencabar pelantikan Mohd Shafie di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini, hakim Datuk Yew Jen Kie turut memutuskan seorang Ketua Menteri yang dilantik perlu mendapat sokongan majoriti dan memiliki majoriti kerusi DUN.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa. – Foto NSTP

“Situasi dihadapi WARISAN ketika ini tidak membabitkan Perkara 6(7), dan Yang di-Pertua Negeri tidak boleh melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Annuar turut memaklumkan GRS sudah menghantar dua nama calon Ketua Menteri Sabah yang baharu untuk pertimbangan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Insya-Allah, esok Ketua Menteri Sabah yang baharu akan dilantik. Harapan baharu, perjanjian baharu. Sabah yang baharu,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *