Saya Sokong PN, Kata Calon Bebas Yang Menang

Rubin Balang bercakap kepada media selepas menyertai sidang akhbar Pengerusi PN Sabah Hajiji Noor awal pagi tadi.

KOTA KINABALU: Calon Bebas Rubin Balang, yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong di pedalaman Sabah merakamkan sokongannya kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada PPBM, Star dan SAPP.

Sokongan beliau bakal menambah kerusi PN kepada 18, berbanding 17 seperti diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pilihan raya negeri (PRN) Sabah lewat malam tadi.

Ia juga bermakna gabungan longgar yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional dan PBS kini mempunyai 39 kerusi, dengan BN menyumbang 14 kerusi dan PBS 7.

Rubin menarik perhatian media selepas hadir sidang media Pengerusi PN Sabah Hajiji Noor di sebuah hotel di sini awal pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu Rubin, yang merupakan penyandang kerusi Kemabong mewakili Umno selama 5 penggal sejak 1994 hingga 2018 berkata, beliau menyokong PN dan individu yang akan dicadangkan oleh gabungan itu sebagai ketua menteri.

Ketika ditanya sebab kehadiran Rubin, Hajiji berkata, “sebab beliau sokong PN”, sekali gus diberi tepukan gemuruh oleh penyokong.

Rubin menang dengan 1,012 undi setelah mendapat 4,214 undi berbanding pesaing terdekatnya dari Upko, Lucas Umbul yang mendapat 3,202 dalam pertandingan 6 penjuru.

Dalam pada itu, 2 lagi calon Bebas turut menang semalam, iaitu Masiung Banah yang berjaya mempertahankan kerusi Kuamut dan Rudy Awah yang menang di Pitas mengalahkan antaranya, pesaing dari BN dan Warisan.

Setakat ini tidak jelas sama ada mereka berdua akan mengikuti langkah Rubin.

Masiung merupakan salah seorang daripada 16 Adun yang meninggalkan Warisan bagi menyokong usaha bekas ketua menteri Musa Aman menjatuhkan kerajaan pimpinan parti itu pada Julai.

Percubaan Musa untuk kembali sebagai ketua menteri memaksa Presiden Warisan Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *