Hampir 24 Jam Berlalu, Siapa Ketua Menteri Sabah Baharu?

Sejak dari pagi sehingga artikel ini ditulis – individu terakhir yang meninggalkan Istana Negeri ialah Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh sekitar pukul 5.20 petang tadi.

KOTA KINABALU: Selepas lebih 20 jam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah secara rasmi diketahui, teka-teki siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu masih belum terjawab.

Pemimpin-pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah pun menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada Ahad.

Tinjauan sejak dari pagi sehingga artikel ini ditulis – individu terakhir yang meninggalkan Istana Negeri ialah Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh sekitar pukul 5.20 petang tadi.

Bagaimanapun, Brenndon enggan mendedahkan intipati pertemuan beliau dengan Tun Juhar.

Situasi menjadi semakin mendebarkan selepas Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rombongan GRS iaitu Datuk Seri Hajiji Noor; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Jahid Jahim sebelum itu memaklumkan Tun Juhar meminta tempoh untuk membuat keputusan.

Persoalannya, sampai bila rakyat Sabah perlu menunggu?

Di atas kertas, kemenangan 38 kerusi oleh GRS – Perikatan Nasional (PN) sebanyak 17 kerusi; Barisan Nasional (BN) (14); serta Parti Bersatu Sabah (PBS) (tujuh) memberi majoriti mudah untuk gabungan tersebut membentuk kerajaan baharu.

Kalau isu ‘kesepakatan’ GRS menjadi persoalan pokok – pastinya perkara itu sudah diperjelaskan oleh Hajiji kepada pemberita hari ini bahawa keputusan telah pun dibuat.

Ia sekali gus mengukuhkan andaian pemerhati politik dan rakyat bahawa gabungan tersebut sudah pun memutuskan siapa yang mahu diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Selepas berdepan polemik dan pergolakan politik hampir sebulan – 27 September sepatutnya menjadi hari yang indah buat rakyat Sabah.

Namun, hari ini mereka bangun pagi dengan perasaan ‘terpinga-pinga’, sehingga saat ini.

Pasti, di pelosok kampung dan kedai kopi, topik ini hangat diperkatakan oleh mereka!

Jadi, adakah esok rakyat Sabah akan boleh menatap wajah Ketua Menteri baharu mereka di kaca televisyen dan media sosial? – AWANI

Sama-sama kita tunggu…

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *