Bagi Shafie, Permainan Belum Tamat

Presiden Warisan Shafie Apdal pada sidang media lewat malam tadi di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Shafie Apdal tampak berharap akan berlakunya “keajaiban” dalam perjalanan kisah pilihan raya negeri Sabah semalam walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah pun memperoleh majoriti mudah, sekali gus membolehkannya menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Beliau berkata, Warisan Plus merupakan “parti tunggal dengan kerusi paling banyak” di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru walaupun gabungan itu gagal memperoleh 37 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Rumah Yayasan Sabah awal pagi tadi beliau berkata, “saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Sabah atas sokongan kuat yang diberikan kepada Warisan Plus dalam pilihan raya negeri ke-16. Kita dapat lihat bahawa parti tunggal dengan kerusi paling banyak ialah Warisan Plus dengan 29 kerusi.”

Ketika ditanya sama ada Warisan masih merancang untuk menubuhkan kerajaan negeri akan datang, Shafie berkata, keadaan politik semasa di peringkat pusat dan negeri tidak menentu.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Warisan merupakan parti tunggal dengan kerusi paling banyak.

“Kita akan lihat perkembangan dari segi keadaan politik,” katanya.

Kenyataan Shafie berkait parti tunggal dengan kerusi paling banyak tampak merujuk kepada amalan perlembagaan yang menyaksikan pemimpin parti terbesar dipilih sebagai pemimpin kerajaan.

Terdahulu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut perlembagaan, Yang di-Pertuan Negeri akan melantik individu daripada parti yang memenangi paling banyak kerusi untuk memimpin kerajaan.

Keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh menyebut Warisan menang di 29 kerusi, sementara sekutunya Upko dan PKR masing-masing menang di 1 dan 2 kerusi.

Beliau berkata, Perikatan Nasional memenangi 17 kerusi, diikuti oleh BN (14) dan PBS (7).

Tiga calon Bebas turut memenangi kerusi di DUN Sabah semalam.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *