Pesakit Covid-19 Tidak Dibenarkan Keluar Mengundi – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di hospital tidak dibenarkan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas selepas pertimbangan bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan.

Beliau bagaimanapun berkata, tiga kategori pengundi lain masih dibenarkan keluar mengundi dengan prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi hari mengundi, terdapat empat kategori pengundi, yang pertama adalah pengundi biasa. Mereka ini perlu hadir pada waktu yang ditetapkan dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) antaranya adalah hadir pada waktu yang ditetapkan dan beratur mengikut jarak yang ditetapkan.

“Kita menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi pada waktu yang ditetapkan namun jangan salah faham jika ada pengundi yang tidak boleh datang pada waktu yang ditetapkan mereka boleh datang pada waktu lain dan dibenarkan mengundi, kita hanya menggalakkan bagi mengurangkan kesesakan,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, kategori kedua ialah mereka yang bergejala dan perlu terus ke tempat mengundi dan akan dibawa ke tempat pengundian khas yang disediakan.

“Kategori ketiga adalah mereka yang masih dikuarantin, mereka ini dibenarkan mengundi tetapi mesti membuat permohonan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya dapat ditentukan masa untuk mereka dibawa keluar.

“Kategori keempat adalah individu yang positif COVID-19 dan dirawat di hospital tidak dibenarkan keluar mengundi,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *