Manifesto USNO Janji Kahwin Kali Pertama Dapat RM1,000

Pandikar Amin Mulia berucap sebelum melancarkan manifesto USNO. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 16 Sept: Keluarga pengasas Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun seharusnya berterima kasih kepada pemimpin dan ahli baharu parti kerana meneruskan semangat perjuangan tokoh politik itu sehingga ke hari ini.

Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata apa yang dilakukan pemimpin dan ahli parti itu ketika ini ialah untuk mengingatkan rakyat Sabah mengenai perjuangan Tun Datu Mustapha dahulu dalam memperjuang kepentingan penduduk negeri itu.

“Kami bukan mengaibkan… Kami tidak mengutuk… (sebaliknya) kami mengangkat (perjuangan Tun Datu Mustapha). Seharusnya keluarga Allahyarham berterima kasih kepada USNO kerana kami mengingatkan rakyat Sabah tentang perjuangan mereka dahulu.

“Seharusnya keluarga Tun Datu Mustapha termasuk (Datuk) Amir Kahar mesti masuk dalam USNO,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto parti itu yang merangkumi lima rundingan dan lapan tawaran baharu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anak lelaki Tun Datu Mustapha iaitu Amir Kahar yang meminta barisan kepimpinan USNO baharu, terutama yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, memohon maaf kerana menggunakan nama serta legasi ayahnya.

Amir Kahar, yang bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, berkata keluarganya tidak mahu gambar Tun Datu Mustapha digunakan demi kepentingan politik USNO.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin berkata gambar Tun Datu Mustapha adalah hak awam yang turut terdapat dalam arkib.

USNO ditubuhkan pada 1961 oleh Tun Datu Mustapha, yang juga digelar ‘Bapa Kemerdekaan Sabah.’

Pandikar Amin berkata USNO tidak menjalin sebarang kerjasama mahupun pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRN Sabah.

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata demikian ketika disoal adakah benar PKR membuat rundingan dengan USNO untuk bertanding dan merosakkan undi Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai ‘balasan balik’ kerana PKR hanya diberikan tujuh kerusi pada pilihan raya tersebut.

Katanya perkara itu tidak berlaku kerana USNO turut meletakkan calon di kawasan yang ditandingi PKR seperti DUN Tempasuk, Karambunai dan Darau.

Seramai 47 calon USNO akan bertanding merebut kerusi DUN pada PRN kali ini.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *