Bekas Pemimpin PKR Dakwa Dapat Restu PN Tanding Di Inanam

Kenny Chua menyampaikan ceramah di Kampung Mabpai di Inanam, Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Bekas penyandang kerusi Inanam, Kenny Chua mendakwa Perikatan Nasional memberi restu kepadanya untuk bertanding semula di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri, selepas PBS melanggar perjanjian tidak bertanding di kerusi sekutu.

“Pemimpin daripada PN, iaitu PPBM dan STAR memberi lampu hijau kepada saya untuk bertanding di Inanam dengan sokongan PN.

“Mereka (PBS) tidak sepatutnya bertanding di kerusi yang ditandingi STAR, bukan hanya di Inanam, tetapi mereka juga meletakkan calon untuk melawan Presiden STAR (Jeffrey Kitingan) di Tambunan, Moyog, Kepayan, Tanjung Aru dan Paginatan.

“Saya fikir apa yang berlaku adalah beberapa orang mahu sangat menjadi calon, jadi mereka teruskannya, sudah pasti semua orang marah,” katanya sebelum menyampaikan ceramah di Kampung Mabpai di Inanam hari ini.

Bendera PN dan STAR turut dijadikan latar belakang pusat ceramah itu.

Chua berkata, beliau pada mulanya bertanding atas tiket bebas di Inanam, tetapi memutuskan untuk mewakili PN selepas menyerahkan borang pencalonan semalam.

“Saya berhak berdepan semula dengan rakyat, sama ada mereka mahu mengundi saya semula atau tidak.”

Bekas naib ketua PKR Sabah itu memenangi kerusi Inanam atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, Chua dipecat daripada PKR selepas menyokong usaha Musa Aman untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal pada Julai lalu.

Chua sebelum ini membayangkan akan menyertai parti tempatan untuk bertanding di Inanam pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, namanya tiada dalam senarai calon PN, BN dan PBS, walaupun sering dilihat menghadiri majlis anjuran PN.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *