110 Polis Tawau Sedia Tangani Rusuhan PRN

TAWAU: Seramai 680 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan mengawal keselamatan di daerah ini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya tidak ketinggalan membuat persiapan rapi bagi memastikan kawalan keselamatan berjalan dengan baik.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan pasukan keselamatan sepanjang tempoh PRN.

“Ini termasuk tatacara berkempen yang terkawal dan tidak membuat provokasi terhadap kumpulan, parti, kaum serta agama,” katanya kepada media selepas selesai menyaksikan Latihan Dalam Perkhidmatan Demonstrasi membabitkan Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, di sini, hari ini.

Terdahulu seramai 110 pegawai dan anggota polis dari IPD Tawau dan Batalion 14 PGA Tawau menyertai demonstrasi rusuhan termasuk membabitkan Unit Pencegahan Rusuhan (PORU).

Tambah Peter, pihaknya akan memantau kawasan yang akan menjadi tumpuan berkumpul ketika PRN bagi tujuan pematuhan prosedur operasi standart (SOP).

Berhubung status Tawau menjadi zon merah  sekali lagi berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak, Peter menjelaskan sehingga kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan.

“Bagaimanapun, sebarang perubahan akan dimaklumkan selepas diputuskan dalam mesyuarat Persekutuan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *