Polis Sedia Hadapi PRN Sabah

SANDAKAN: Polis mempunyai jumlah anggota mencukupi yang bersedia untuk berkawal di daerah ini bermula hari mengundi sehingga pasca Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan akan berkawal sepanjang tempoh itu dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku krisis atau rusuhan.

Azhar Hamin

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar mengawal emosi dan tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh PRN.

“Tambah lagi sekarang kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan masih ada penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Saya minta kepada parti yang bertanding agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP khususnya jumlah yang ditetapkan dalam fasa kempen agar kita dapat sama-sama mencegah penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Simulasi PRN di Bandar Utama, di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, simulasi itu yang diadakan membabitkan PGA Batalion 15 dan IPD Sandakan diadakan bertujuan untuk memantapkan kemahiran mengendalikan sebarang krisis sebagai persediaan menghadapi PRN.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azhar berkata, seramai 11 lelaki berusia antara 40 hingga 64 tahun membabitkan warga tempatan dan bukan warga negara dikenakan kompaun kerana melanggar peraturan ditetapkan dalam PKPP.

Katanya, semua mereka dikenakan kompaun oleh pasukan pemantau PKPP di sebuah pusat snuker di sini selepas didapati tidak mengamalkan penjarakkan sosial. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *