Perpaduan Lebih Penting, PKR Tanding Tujuh Kerusi

KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, bersama Majlis Kepimpinan Negeri (MPN), telah mencapai kata sepakat dengan rakan sekutu Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk bertanding tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api Api, Klias dan Sook.

Keputusan itu disahkan oleh Presiden PKR dan Setiausaha Agung parti (Ibu Pejabat) yang  menyokong keputusan pemimpin tempatan demi kepentingan terbaik Sabah.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Warisan, DAP, UPKO dan AMANAH dalam memastikan kami kekal sebagai unit yang strategik, stabil dan padu dalam mempertahankan kehendak serta mandat rakyat.

“Walaupun keputusan pada masa ini adalah menggunakan logo kita sendiri (PKR), kita berharap  pengundi di Sabah akan terus menyokong gabungan ini,” katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.

Tengah hari tadi, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggumumkan 66 calon daripada WARISAN dan sekutunya, DAP, UPKO serta AMANAH.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata bagi PKR yang juga sekutu mereka, calon daripada parti itu akan diumumkan oleh Christina.

Sambil menjelaskan parti itu berpegang teguh kepada kepercayaan dan kerjasama yang sedia ada dalam semua komponen parti ini, Christina berkata PKR akan terus menyokong kepemimpinan Mohd Shafie.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *